Judul : TAK BOLEHKAH NAJIB TIDAK PERGI BERCUTI ATAU CUTI DALAM NEGARA SAJA?
link : TAK BOLEHKAH NAJIB TIDAK PERGI BERCUTI ATAU CUTI DALAM NEGARA SAJA?
TAK BOLEHKAH NAJIB TIDAK PERGI BERCUTI ATAU CUTI DALAM NEGARA SAJA?
shahbudindotcom
Tidak seperti Perdana Menteri-Perdana Menteri sebelum ini, sudah beberapa kali percutian Najib Razak bersama keluarganya menjadi isu dan perbualan hangat di kalangan masyarakat.
Setelah penat bekerja, tidak salah pergi bercuti. Bukan saja Perdana Menteri, bahkan menteri, pemimpin GLC, peneraju korporat dan rakyat biasanya pun, semualajadinya memang suka bercuti.
Ada yang bercuti atas peruntukan yang disediakan oleh kerajaan atau tempat seseorang itu bekerja dan ramai juga yang bercuti dengan wang sendiri serta beruncit-runcit mengumpul belanja.
Namun, bercuti bukanlah acara wajib atau mesti ditunaikan dengan semestinya, tak kira sama ada berlaku ribut, taufan atau gempa bumi yang melanda. Bercuti tidaklah wajib seperti solat Jumaat atau solat lima waktu dalam sehari hukumnya.
Bercuti cumalah pilihan. Boleh dilakukan dan boleh juga tidak dilakukan. Bercuti tidak semestinya harus pergi ke luar negara, tengok salji, main golf, bermain dengan kangaroo atau sebagainya.
Duduk dan berehat di rumah, balik kampung atau bercuti di tempat-tempat menarik dalam negara juga adalah bercuti sebenarnya.
Kenapa hanya percutian Najib saja yang selalu menjadi isu?
Kenapa semasa Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi dahulu, topik percutian ini tidak menjadi isu?
Jika diperhati, bercuti adalah acara wajib bagi Najib dan beliau melakukannya sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun.
Biasanya beliau akan bercuti pada hujung tahun dan pada 2 Syawal iaitu selepas mengadakan sambutan rumah terbuka di Seri Perdana.
Najib seolah-olah menetapkan perkara itu sebagai acara wajib baginya. Tidak kira apa sekali pun berlaku dalam negara, seperti banjir besar di Pantai Timur pada 2015, baginya cuti tetap cuti.
Begitu juga dengan tarikh 2 syawal, Najib dan keluarga selalunya akan "hilang" senyap-senyap sekurang-kurangnya dua minggu selepas bermeriah mengadakan sambutan Hari Raya.
Tidaklah salah bercuti, bahkan sebagai Perdana Menteri, bercuti menaiki jet juga adalah dibenarkan. Tetapi Najib tidak harus menjadikan ia seperti perkara wajib sebagaimana wajibnya solat Jumaat atau solat lima waktu dalam sehari.
Dalam keadaan berlakunya banjir besar atau ketika rakyat tertekan dalam kehidupan dengan kos sara hidup yang meningkat, harga barang makan mahal, GST mencengkam dan ikan kembung berharga RM22 sekilo, tak usahlah pergi bercuti.
Berkorban dan fahamilah sedikit-sebanyak perit dan derita kehidupan rakyat. Bukankah pemimpin perlu memahami rakyat?
Sebelum 1997, Tun Mahathir Mohamad pernah tidak mengambil cuti selama beberapa tahun untuk menyelesaikan pelbagai perkara dan melaksanakan tugas yang lebih penting untuk negara.
Hanya pada Mei 1997, beliau bercuti panjang selama dua bulan sambil melawat beberapa negara dan ketika itu menyerahkan kepada Anwar Ibrahim untuk memangku jawatan Perdana Menteri.
Tidak bolehkah, dengan pelbagai kekalutan dalam negara sekarang ini, Najib menangguhkan dahulu percutiannya seperti yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir itu?
Kalau pun Najib mahu bercuti juga, berkunjunglah ke tempat-tempat menarik di dalam negara sendiri. Apa kurangnya Pulau Langkawi, Pulau Tioman atau Pulau Perhentian dengan Bali misalnya?
Seperkara lagi, keburukan Najib ialah selalu "pergi bercuti secara sembunyi-sembunyi macam pencuri mahu keluar rumah sendiri".
Tidak saja percutiannya ketika banjir besar di Pantai Timur yang kemudian terdedah beliau bermain golf dengan Barack Obama di Hawaii dan beberapa kali yang lain dilakukan secara sembunyi-sembunyi, bahkan percutiannya ke Bali dan Perth baru-baru ini juga dibuat tanpa pengetahuan sesiapa.
Kenapa begitu? Adakah ia ciri-ciri pemimpin wassatiyah?
Kenapa Najib tidak mencontohi Tun Mahathir dan Tun Abdullah yang tidak menyembunyikan percutian mereka, bahkan mengalu-ngalukan penyokong serta kawan-kawan menghantar ke lapangan terbang untuk mengucapkan selamat jalan?
Lebih-lebih lagi dengan bercuti menggunakan duit kerajaan dan menaiki jet kerajaan, kenapa perlu disembunyikan daripada rakyat?
Dalam soal percutian ini, Najib tidak saja perlu berkorban dan lebih memahami rakyat, bukan semata-mata mahukan rakyat memahami gaya hidupnya, bahkan juga harus lebih telus dan terbuka dalam banyak perkara.
Jika tidak, percutian beliau dan keluarganya akan sentiasa dipertikai sampai bila-bila.
Demikianlah Artikel TAK BOLEHKAH NAJIB TIDAK PERGI BERCUTI ATAU CUTI DALAM NEGARA SAJA?
Sekianlah artikel TAK BOLEHKAH NAJIB TIDAK PERGI BERCUTI ATAU CUTI DALAM NEGARA SAJA? kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel TAK BOLEHKAH NAJIB TIDAK PERGI BERCUTI ATAU CUTI DALAM NEGARA SAJA? dengan alamat link https://beritabaru46.blogspot.com/2017/07/tak-bolehkah-najib-tidak-pergi-bercuti.html