Judul : Selepas pembalakan, NGO desak henti lombong emas, pasir di Merapoh
link : Selepas pembalakan, NGO desak henti lombong emas, pasir di Merapoh
Selepas pembalakan, NGO desak henti lombong emas, pasir di Merapoh
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia berkata, Sungai Merapoh yang membekalkan sumber air kepada 10,000 penduduk sekitar tetap tercemar kerana aktiviti melombong pasir dan emas masih dijalankan.
PETALING JAYA: Aktiviti pembalakan di Hutan Merapoh, Lipis yang dihentikan hampir 2 minggu lalu, tidak menjamin penduduk setempat boleh mendapat bekalan air bersih.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menyuarakan kebimbangan itu kerana aktiviti melombong emas dan pasir masih dijalankan, sekaligus menyebabkan kualiti air sungai masih tercemar.
Peka berkata dengan menghentikan aktiviti pembalakan ia tidak menjamin penduduk kembali mendapat bekalan air bersih jika aktiviti melombong pasir dan emas masih dijalankan.
“Walaupun pembalakan telah dihentikan, kerosakan teruk kepada alam sekitar, terutamanya di Sungai Merapoh yang membekalkan sumber air kepada 10,000 penduduk tetap tercemar, khasnya bila hujan ditambah pula aktiviti lombong pasir dan emas masih berjalan seperti biasa,” kata wakil Peka ketika dihubungi FMT.
Sehubungan itu, Peka yang diketuai Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil mendesak aktiviti perlombongan pasir dan emas dihentikan segera.
“Sebabnya kita tidak mahu air sungai bertambah tercemar dengan aktiviti yang tiada kawalan atau seliaan pihak berkuasa itu,” katanya.
Pada 25 November lalu, FMT melaporkan aktiviti pembalakan di Hutan Merapoh, Pahang mendapat bantahan penduduk setempat dan NGO yang bimbang alam sekitar dan kawasan tadahan air di situ tercemar.
Malah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan tidak menerima laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada pihak berkenaan sebelum kerja penerokaan dimulakan.
Pada 30 November lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan kerja pembalakan yang masih berlaku, dihentikan.
Pada 27 November lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri bersedia menghentikan kerja pembalakan dan pembangunan di hutan itu bagi mengambil kira kepentingannya sebagai kawasan tadahan air.
Sementara itu, majoriti penduduk di sekitar Hutan Merapoh menarik nafas lega susulan arahan kerajaan menghentikan aktiviti pembalakan, walaupun ia tidak melibatkan kegiatan melombong pasir dan emas.
“Kami penduduk gembira dan keputusan menghentikan aktiviti pembalakan sangat tepat, sekaligus memberi nafas kembali kepada kami untuk mendapat bekalan air bersih.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri dan pihak kementerian,” kata wakil penduduk, Sabri Zoo, 36, sambil memaklumkan aktiviti itu dihentikan sejak 3 Disember lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan aktiviti pembalakan kembali berlaku, memandangkan kawasan terbabit milik persendirian.
“Kami harap ia tidak berlaku lagi dan kalau nak dibuat pembalakan bagi tujuan perladangan, kami rasa pihak kerajaan boleh menggantikan tempat lain yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk.”
Beliau berharap aktiviti pelancongan akan kembali pulih selepas kegiatan pembalakan di Hutan Merapoh dihentikan, termasuk di kawasan Gua Hari Malaysia yang sekaligus membuka peluang kepada penduduk setempat meraih pendapatan tambahan.
“Kami juga harap pihak kementerian bantu pulihkan dan promosi Gua Hari Malaysia di Merapoh, sebab sehingga kini tiada sebarang bentuk promosi dilakukan pihak pelancongan walaupun kawasan tersebut banyak tarikan boleh dibangunkan.”
Demikianlah Artikel Selepas pembalakan, NGO desak henti lombong emas, pasir di Merapoh
Sekianlah artikel Selepas pembalakan, NGO desak henti lombong emas, pasir di Merapoh kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Selepas pembalakan, NGO desak henti lombong emas, pasir di Merapoh dengan alamat link https://beritabaru46.blogspot.com/2017/12/selepas-pembalakan-ngo-desak-henti.html